Thursday, August 18, 2011
Majalah Mingguan Wanita - Empat Beradik Usahakan Jururawat Bergerak Rumah Ke Rumah
Penulis: Nor Amiza Abd Kadir
Jurufoto: Shahrul Nizam Basri
Mingguan Wanita
Ogos 2011
Tentunya pasangan Yahya Baginda dan Zaharah Yusop berbesar hati mempunyai cahaya mata yang bersatu hati. Lebih membanggakan, mereka berniat murni melakukan pekerjaan yang kurang sinonim dengan kelompok masyarakat Melayu iaitu perkhidmatan jururawat dan fisioterapi bergerak dari rumah ke rumah. Bagi empat anak muda, penubuhan Home Intensive Care Nursing (HICNursing) pada penghujung 2008 ini bukan sahaja suatu perniagaan tetapi juga bakti kepada masyarakat dengan cara memudahkan pesakit mendapatkan rawatan tanpa perlu ke hospital.
Menurut Yasrizal Yahya yang bertindak sebagai pengurus HICNursing, idea untuk menubuhkan HICNursing timbul daripada ibunya. Lantas, ia direalisasikan segera kerana yakin terdapat permintaan untuk perkhidmatan ini. "Pada 2008, datuk jatuh sakit akibat strok kali kedua. Menurut doktor, datuk tidak mempunyai harapan untuk sembuh dan mencadangkan kami agar membawa datuk pulang ke rumah. Memandangkan adik saya, Azhar dan Firdous mempunyai pengalaman dalam bidang kejururawatan dan fisioterapi, kami adik-beradik dan sepupu yang lain memberi rawatan kepada datuk. Alhamdulullah datuk sembuh dan boleh berjalan sehingga kini. Setelah itu emak mencadangkan agar kami melakukannya secara serius untuk membantu pesakit yang lain, terutama yang terlantar. Dengan rawatan yang diberikan mungkin pesakit boleh berdikari untuk duduk dan membolehkan mereka bersolat pun sudah cukup baik. Daripada itu, kami adik beradik berbincang bersama dan kami sepakat untuk menubuhkan HICNursing dengan modal pemulaan sumbangan ayah, emak dan adik beradik yang lain," katanya yang pernah bertugas sebagai pegawai penilaian selama tujuh tahun.
Melalui pemerhatian Yasrizal, kebanyakkan perkhidmatan jururawat bergerak dari rumah ke rumah berpusat di Petaling Jaya dan ia dipelopori oleh bangsa asing. Ia menjadikan semangat empat anak muda ini begitu membara untuk membuka pusat operasi di Ampang, setelah yakin ia memberi peluang dan potensi yang besar kepada mereka. "Saya tidak berani mengatakan kami orang Melayu pertama yang memulakan perkhidmatan jururawat dan fisioterapi ini secara bergerak tetapi berdasarkan maklum balas; ketika membuat pendaftaran syarikat dan sebagainya, sememangnya tidak ada lagi orang Melayu yang menawarkan perkhidmatan ini. Walaupun pada permulaannya agak sukar,. Ini kerana masyarakat kita tiada pendedahan dan mereka tidak mempercayai orang luar masuk ke rumah. Namun begitu, dari semasa ke semasa kami menerima sambutan yang menggalakkan dan semenjak dibuka sehingga 2010, terdapat 500 orang pesakit yang mendapatkan perkhidmatan daripada kami. Pelanggan kami terdiri daripada pelbagai bangsa serta meliputi kawasan seluruh Lembah Klang," ujar anak kedua daripada tujuh beradik.
Mengenai HICNursing, Yasrizal menjelaskan mereka menerima pangilan telefon daripada pesakit atau keluarga mereka. Kemudian, pihaknya akan mengadakan sesi temu janji di rumah pesakit untuk membuat penilaian dari segi keadaan dan rawatan yang diperlukan. Jika pesakit bersetuju dalam tempoh dua hari jadual pesakit akan dikeluarkan untuk sesi rawatan. "Kebanyakkan pesakit adalah warga emas dan juga bayi serta kanak-kanak yang mengalami masalah pergerakkan serta memerlukan fisioterapi. Caj yang dikenakan bergantung kepada keadaan pesakit dan juga jarak pejabat ke rumah. Umumnya pesakit yang kritikal lebih tinggi dan rawatan susulan kami hanya mengenakan bayaran RM70 hingga RM80 bagi rawatan satu jam di kawasan Ampang. Ia masih berpatutan," tambahnya.
Dengan kekuatan 25 orang jururawat dan ahli fisioterapi, Yasrizal yakin HICNursing mampu memenuhi permintaan klien. Dalam pada itu, menyedari risiko keselamatan yang mungkin dihadapi oleh kakitangannya yang sering berulang alik dari pejabat ke rumah pesakit, pihak pengurusan menyediakan perlindungan insurans. "Sering kali saya katakan kepada kakitangan saya bahawa apa pun pekerjaan, pasti ada risikonya. Tambah pula budaya kerja yang memerlukan mereka banyak bergerak. Oleh itu sebaiknya kita berniat baik kerana diiringi niat tersebut segala urusan akan dipermudahkan. Namun begitu kami tetap melindungi setiap kakitangan dengan perlindungan insurans jika berlaku kemalangan,"ujarnya lagi.
Bercerita mengenai pengalaman bekerja sesama adik beradik, kata Yasrizal, ibu bapanya memainkan peranan yang besar dalam mendidik mereka untuk saling bekerjasama. "Bergaduh adik beradik itu perkara biasa dan ada kalanya ketika bermesyuarat, kami bertekak tetapi saya selalu ingatkan adik beradik bahawa air dicincang takkan putus. Sebenarnya bekerja dengan ahli keluarga ini lebih mudah terutamanya dalam proses membuat keputusan. Malah kami masing-masing telah mengenali karekter dan ia menjadikan kami lebih bertimbang rasa dan bertolak ansur. Sebenarnya semenjak kecil telah diajar untuk bekerjasama dan bersatu. Dahulu semasa kecil, kami bersama-sama menjual roti canai sebelum ke sekolah sehinggalah selepas tamat persekolahan, kami adik beradik menjalankan ternakan ikan di dalam sangkar dan kambing serta lembu. Kami juga dididik untuk berkongsi bersama-sama. Apa sahaja aktiviti juga kami lakukan bersama. Misalnya pada waktu malam kami berlajar berkumpulan dan mengaji bersama. Jadi kami sudah terbiasa dengan kebiasaan ini dan merapatkan lagi hubungan sekeluarga. Tentunya apabila bekerja bersama-sama, hubungan kami akan menjadi lebih rapat. Masing-masing mempunyai tanggungjawab sendiri di HICNursing dan ia tidak menimbulkan sebarang masalah kepada kami semua. Saya menguruskan perjalanan HICNursing, Azhar merupakan pengurus kejururawatan, Firdous pula adalah pengurus fisioterapi manakala Asri mangawal pentadbiran dan perakaunan. Insya Allah pada masa hadapan kami merancang untuk membuka lebih banyak pusat operasi jururawat dan fisioterapi bergerak. Antaranya di Seremban dan Melaka dalam masa terdekat ini,"tambahnya lagi.
Subscribe to:
Posts (Atom)