Wednesday, February 29, 2012

MEMO PERPINDAHAN PEJABAT

Dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara di atas pihak HICNursing ingin memaklumkan kepada semua yang kami telah berpindah ke lokasi baru. Alamat pejabat baru kami adalah seperti yang dinyatakan dibawah. Segala urusan bolehlah menghubungi kami seperti dibawah:

HOME INTENSIVE CARE NURSING ENTERPRISE
No. 21-1A & 21-1B,
Jalan UP 1/3,
Taman Ukay Perdana,
68000 Ampang,
Selangor D.E
Tel : 03-41025094
03-41050221
Fax : 03-41620221
Web : www.jururawatbergerak.com
Email: hicnursing@yahoo.com

Waktu Pejabat:
Isnin-Khamis - 9am - 5pm
Jumaat - 9am - 12.30pm
2.30pm - 5pm
Sabtu - 9am - 1pm
Ahad - Cuti

Wednesday, February 1, 2012

PANDUAN PENJAGAAN PESAKIT STROKE

Stroke adalah sejenis penyakit yang mempunyai potensi untuk sembuh semula. Ia bergantung pada cara penjagaan yang betul juga komitmen serta kesungguhan yang diberi oleh pesakit dan juga ahli keluarga. Penjagaan pertama sangat penting pesakit stroke. Ramai yang tidak tahu apabila pesakit stroke mendapat penjagaan dan rawatan yang berterusan dan disertakan dengan semangat yang tinggi mereka boleh sembuh serta menjalani hidup yang normal seperti sedia kala. Ikuti sedikit info dari Majalah iSIHAT keluaran Februari 2012 untuk pengetahuan bersama.





Thursday, August 18, 2011

Majalah Mingguan Wanita - Empat Beradik Usahakan Jururawat Bergerak Rumah Ke Rumah




Penulis: Nor Amiza Abd Kadir
Jurufoto: Shahrul Nizam Basri

Mingguan Wanita
Ogos 2011



Tentunya pasangan Yahya Baginda dan Zaharah Yusop berbesar hati mempunyai cahaya mata yang bersatu hati. Lebih membanggakan, mereka berniat murni melakukan pekerjaan yang kurang sinonim dengan kelompok masyarakat Melayu iaitu perkhidmatan jururawat dan fisioterapi bergerak dari rumah ke rumah. Bagi empat anak muda, penubuhan Home Intensive Care Nursing (HICNursing) pada penghujung 2008 ini bukan sahaja suatu perniagaan tetapi juga bakti kepada masyarakat dengan cara memudahkan pesakit mendapatkan rawatan tanpa perlu ke hospital.


Menurut Yasrizal Yahya yang bertindak sebagai pengurus HICNursing, idea untuk menubuhkan HICNursing timbul daripada ibunya. Lantas, ia direalisasikan segera kerana yakin terdapat permintaan untuk perkhidmatan ini. "Pada 2008, datuk jatuh sakit akibat strok kali kedua. Menurut doktor, datuk tidak mempunyai harapan untuk sembuh dan mencadangkan kami agar membawa datuk pulang ke rumah. Memandangkan adik saya, Azhar dan Firdous mempunyai pengalaman dalam bidang kejururawatan dan fisioterapi, kami adik-beradik dan sepupu yang lain memberi rawatan kepada datuk. Alhamdulullah datuk sembuh dan boleh berjalan sehingga kini. Setelah itu emak mencadangkan agar kami melakukannya secara serius untuk membantu pesakit yang lain, terutama yang terlantar. Dengan rawatan yang diberikan mungkin pesakit boleh berdikari untuk duduk dan membolehkan mereka bersolat pun sudah cukup baik. Daripada itu, kami adik beradik berbincang bersama dan kami sepakat untuk menubuhkan HICNursing dengan modal pemulaan sumbangan ayah, emak dan adik beradik yang lain," katanya yang pernah bertugas sebagai pegawai penilaian selama tujuh tahun.

Melalui pemerhatian Yasrizal, kebanyakkan perkhidmatan jururawat bergerak dari rumah ke rumah berpusat di Petaling Jaya dan ia dipelopori oleh bangsa asing. Ia menjadikan semangat empat anak muda ini begitu membara untuk membuka pusat operasi di Ampang, setelah yakin ia memberi peluang dan potensi yang besar kepada mereka. "Saya tidak berani mengatakan kami orang Melayu pertama yang memulakan perkhidmatan jururawat dan fisioterapi ini secara bergerak tetapi berdasarkan maklum balas; ketika membuat pendaftaran syarikat dan sebagainya, sememangnya tidak ada lagi orang Melayu yang menawarkan perkhidmatan ini. Walaupun pada permulaannya agak sukar,. Ini kerana masyarakat kita tiada pendedahan dan mereka tidak mempercayai orang luar masuk ke rumah. Namun begitu, dari semasa ke semasa kami menerima sambutan yang menggalakkan dan semenjak dibuka sehingga 2010, terdapat 500 orang pesakit yang mendapatkan perkhidmatan daripada kami. Pelanggan kami terdiri daripada pelbagai bangsa serta meliputi kawasan seluruh Lembah Klang," ujar anak kedua daripada tujuh beradik.

Mengenai HICNursing, Yasrizal menjelaskan mereka menerima pangilan telefon daripada pesakit atau keluarga mereka. Kemudian, pihaknya akan mengadakan sesi temu janji di rumah pesakit untuk membuat penilaian dari segi keadaan dan rawatan yang diperlukan. Jika pesakit bersetuju dalam tempoh dua hari jadual pesakit akan dikeluarkan untuk sesi rawatan. "Kebanyakkan pesakit adalah warga emas dan juga bayi serta kanak-kanak yang mengalami masalah pergerakkan serta memerlukan fisioterapi. Caj yang dikenakan bergantung kepada keadaan pesakit dan juga jarak pejabat ke rumah. Umumnya pesakit yang kritikal lebih tinggi dan rawatan susulan kami hanya mengenakan bayaran RM70 hingga RM80 bagi rawatan satu jam di kawasan Ampang. Ia masih berpatutan," tambahnya.

Dengan kekuatan 25 orang jururawat dan ahli fisioterapi, Yasrizal yakin HICNursing mampu memenuhi permintaan klien. Dalam pada itu, menyedari risiko keselamatan yang mungkin dihadapi oleh kakitangannya yang sering berulang alik dari pejabat ke rumah pesakit, pihak pengurusan menyediakan perlindungan insurans. "Sering kali saya katakan kepada kakitangan saya bahawa apa pun pekerjaan, pasti ada risikonya. Tambah pula budaya kerja yang memerlukan mereka banyak bergerak. Oleh itu sebaiknya kita berniat baik kerana diiringi niat tersebut segala urusan akan dipermudahkan. Namun begitu kami tetap melindungi setiap kakitangan dengan perlindungan insurans jika berlaku kemalangan,"ujarnya lagi.

Bercerita mengenai pengalaman bekerja sesama adik beradik, kata Yasrizal, ibu bapanya memainkan peranan yang besar dalam mendidik mereka untuk saling bekerjasama. "Bergaduh adik beradik itu perkara biasa dan ada kalanya ketika bermesyuarat, kami bertekak tetapi saya selalu ingatkan adik beradik bahawa air dicincang takkan putus. Sebenarnya bekerja dengan ahli keluarga ini lebih mudah terutamanya dalam proses membuat keputusan. Malah kami masing-masing telah mengenali karekter dan ia menjadikan kami lebih bertimbang rasa dan bertolak ansur. Sebenarnya semenjak kecil telah diajar untuk bekerjasama dan bersatu. Dahulu semasa kecil, kami bersama-sama menjual roti canai sebelum ke sekolah sehinggalah selepas tamat persekolahan, kami adik beradik menjalankan ternakan ikan di dalam sangkar dan kambing serta lembu. Kami juga dididik untuk berkongsi bersama-sama. Apa sahaja aktiviti juga kami lakukan bersama. Misalnya pada waktu malam kami berlajar berkumpulan dan mengaji bersama. Jadi kami sudah terbiasa dengan kebiasaan ini dan merapatkan lagi hubungan sekeluarga. Tentunya apabila bekerja bersama-sama, hubungan kami akan menjadi lebih rapat. Masing-masing mempunyai tanggungjawab sendiri di HICNursing dan ia tidak menimbulkan sebarang masalah kepada kami semua. Saya menguruskan perjalanan HICNursing, Azhar merupakan pengurus kejururawatan, Firdous pula adalah pengurus fisioterapi manakala Asri mangawal pentadbiran dan perakaunan. Insya Allah pada masa hadapan kami merancang untuk membuka lebih banyak pusat operasi jururawat dan fisioterapi bergerak. Antaranya di Seremban dan Melaka dalam masa terdekat ini,"tambahnya lagi.


Saturday, July 9, 2011

Mingguan Malaysia - HICNursing merawat pesakit umpama keluarga


Rawat pesakit umpama keluarga


Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
Gambar ABDUL RAZAK LATIF

KELUARGA HIC Nursing bersedia berkhidmat membantu meringankan beban pesakit yang memerlukan rawatan di rumah.

DATIN Russidah Idrus, 49, tidak menyangka kudis kecil di bahagian belakang tubuh ibunya merebak sedemikian rupa. Bukan setakat berubah warna menjadi kehitaman, kudis tersebut mula mengeluarkan bau kurang menyenangkan.

Tidak mahu keadaan berlarutan, serta simpati dengan ibunya, Napsiah Ali, 80, Russidah pantas merujuk kes tersebut ke Hospital Ampang. Selepas sehari ditahan di wad, kudis dibersihkan dan Napsiah dibenarkan pulang ke rumah. Russidah dinasihat supaya membawa ibunya membuat rawatan susulan (mencuci kudis) di klinik kerajaan berdekatan setiap hari.

Keadaan ibunya yang uzur membataskan ‘tugas’ Russidah menghantarnya ke klinik kerajaan. Biar pun suri rumah sepenuh masa, namun urusan mengangkat ibu tuanya itu untuk ke kereta dan kemudiannya ke hospital atau klinik setiap hari menuntut kudrat yang bukan sedikit.

Lantas dia terfikir mendapatkan rawatan terbaik untuk Napsiah di hospital swasta, namun masih ada beberapa halangan menyebabkan ibu kepada lima cahaya mata itu terpaksa berfikir panjang sebelum membuat keputusan.

‘‘Ketika itu seorang kawan memberitahu saya tentang khidmat jururawat bergerak.

‘‘Saya terfikir untuk mencuba, mungkin ini yang terbaik kerana ibu ada di hadapan saya dan saya sendiri boleh melihat bagaimana mereka melakukan rawatan,’’ katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Taman Saga, Ampang, Selangor baru-baru ini.

Menurut beliau, kudis yang dialami ibunya berpunca daripada ‘gigitan tilam’ akibat terlalu lama berbaring. Ibunya yang mengalami masalah lutut tidak boleh berjalan kira-kira empat tahun lalu.

Bagaimanapun Napsiah mula terbaring sejak empat bulan lalu menyebabkan bahagian belakang badannya mula mengalami ruam dan melecet. Keadaan tersebut sememangnya biasa dialami pesakit yang terlantar dan tidak mampu menggerakkan badan.

‘‘Melecet dan kudis kecil di belakang ibu saya semakin teruk dan memerlukan rawatan segera bagi mengelak keadaan menjadi lebih parah,’’ kata Russidah.

Perkenalan dengan HICNursing bermula bagi memenuhi keperluan Russidah memberi rawatan kepada ibunya. Sesi pertama rawatan bermula tiga bulan lalu. Beliau melahirkan rasa bangga kerana anak-anak muda yang menggerakkan khidmat jururawat bergerak itu cekap menjalankan tanggungjawab mereka.

Kudis sebesar bola golf itu mula menampakkan perubahan selepas beberapa rawatan, malah bau akibat daging mati dan nanah tidak ada langsung.

Perunding Jururawat HICNursing, Mohd. Azhar Yahya ketika mengulas perkembangan Napsiah yang dipanggilnya ‘wan’ memberitahu, keadaan asal luka ketika dia dan pasukannya datang membuat rawatan dikategorikan sebagai ‘teruk’.

‘‘Tentunya keadaan itu menyebabkan pesakit menderita apatah lagi dia sendiri tidak boleh bergerak untuk menguruskan diri sendiri,’’ kata anak muda menjangkau usia 26 tahun itu.

Menurut Mohd. Azhar, terdapat ‘poket’ di sekeliling luka Napsiah sehingga jari boleh dimasukkan di kawasan tersebut menandakan luka yang semakin melarat.

‘‘Alhamdulillah wan tidak ada diabetes, jadi luka ini tidak begitu memudaratkan,’’ katanya sambil memberitahu pasukannya yang terdiri daripada jururawat dan perunding fisioterapi mengunjungi Napsiah setiap hari.

Rawatan terhadap Napsiah tertumpu kepada penjagaan luka, fisioterapi, pengawasan tekanan darah, menukar dan memasukkan tiub saluran kencing, penjagaan kebersihan serta memandikan pesakit.

Melihat sendiri jururawat bertugas pada hari saya mengunjungi keluarga Russidah, diakui tugas tersebut menuntut keberanian, kesungguhan dan komitmen yang bukan sedikit.

Luka terbuka yang menampakkan daging berwarna merah (menandakan daging baru dan saluran darah mula berfungsi dengan baik) dicuci secara berhati-hati. Proses tersebut memakan masa, sambil Abdarrahim Mashasan bertanya Napsiah beberapa soalan. Menyertai Abdarrahim ialah Mohd. Adham Sharuddin dan Nur Amarina Yahya.

‘‘Mereka menjaga pesakit macam keluarga sendiri. Ibu saya berkali-kali dicium umpama cucu mencium nenek, supaya rawatan dapat dijalankan dalam suasana yang selesa.

‘‘Saya memberi kepercayaan kepada mereka sepenuhnya, biar pun khidmat berbayar tapi saya berpuas hati apatah lagi kadar yang dikenakan sangat munasabah ,’’ kata Russidah pula.

Sempurna luka dan kudis dicuci, antibiotik dimasukkan dan luka ditutup, Napsiah dipakaikan lampin pakai buang tanpa ada rasa kekok mahu pun malu menjalankan tugas.

Nenek itu kemudiannya dilentangkan, rawatan fisioterapi dimulakan dengan gerakan yang bersesuaian dengan usia Napsiah.

Mohd. Azhar menjemput Mingguan Malaysia selepas kira-kira setahun paparan mengenai HICNursing disiarkan Mega - sisipan harian Utusan Malaysia.

Beliau mahu berkongsi perkembangan perkhidmatan jururawat bergerak yang kini sedang dirancang untuk diperluaskan ke Negeri Sembilan dan Melaka.

Tan Sri Awang Had Salleh, Allahyarham Profesor Datuk Nik Anuar Nik Mahmud, Allahyarham pelakon M. Rajoli antara nama yang pernah mendapatkan khidmat HICNursing.

Ternyata inisiatif empat beradik yang terdiri daripada Yasrizal Yahya (Pengurus); Mohd. Asri Yahya (Pengurus Pemasaran dan Kewangan); Mohd. Azhar Yahya (Perunding Jururawat) dan Mohd. Firdous Yahya (Perunding Fisioterapi) bukan bersifat meraih keuntungan semata-mata.

Cabaran yang dilalui mereka juga bukan sedikit.

‘‘Bukan mudah mendapat kepercayaan tuan rumah untuk membenarkan kami masuk menjalankan rawatan.

‘‘Apatah lagi jika barang-barang berharga ada di sana-sini, tentunya tugas ini menuntut sikap amanah serta saling percaya-mempercayai antara tuan rumah dan staf kami,’’ kata Yasrizal.

Kesempatan mengunjungi pejabat HICNursing di Jalan Pimping Kanan, Ukay Height, Ampang, Selangor, memberi ruang meneliti jadual serta penggiliran bekerja 20 staf di situ.

Tersenarai pangkat Datuk dan Tan Sri, ada juga pesakit bukan Melayu, bermakna anak-anak muda itu tidak pernah mengehadkan khidmat mereka kepada pesakit sebangsa seagama sahaja.

Dengan tagline Pesakit Adalah Keluarga Kami, HICNursing yang ditubuhkan pada 2008 kini mempunyai 20 perunding jururawat dan perunding fisioterapi, masing-masing lulusan kolej jururawat yang diiktiraf kerajaan.

Biar tidak mendapat sokongan mana-mana pihak namun bagi Yasrizal mereka tabah serta kuat menggerakkan perkhidmatan tersebut kerana tahu ramai pesakit yang memerlukan rawatan di rumah.

‘‘Kehadiran kami bukan semata-mata memenuhi rawatan fizikal malah memberikan semangat kepada pesakit supaya mereka tidak rasa tersisih,’’ katanya sambil memberitahu 80 peratus daripada pesakit yang dirawat kini pulih sepenuhnya.

Kecekalan serta kesungguhan gabungan anak muda itu turut meraih kepercayaan beberapa kolej swasta untuk menghantar penuntut jururawat mereka melalukan praktikal di situ.

Ternyata pendedahan merawat pesakit di rumah membolehkan mereka memahami secara amali dan teori tentang keperluan pesakit serta kaedah rawatan.

‘‘Paling penting memupuk semangat mahu membantu, bertanggungjawab, amanah dan ada nilai kasih sayang,’’ kata Yasrizal yang meninggalkan kerjaya lamanya untuk membantu Mohd. Azhar dan Mohd. Firdous menjayakan hasrat murni mereka membantu golongan memerlukan dengan kadar bayaran yang amat munasabah.

Begitu juga Mohd. Asri yang melakukan kerja-kerja pemasaran tidak betah melihat abang dan adik-adiknya menjalankan perkhidmatan tersebut lantas berhenti kerja bagi memberi sokongan sepenuh masa.

Mereka berpengalaman merawat pesakit lumpuh, pengidap diabetes, rawatan kudis dan menyediakan rawatan susulan selepas pesakit keluar dari hospital.

Menawarkan pakej harga yang terendah, satu-satunya syarikat bumiputera yang menjalankan khidmat seumpama itu menjadikan HICNursing amat istimewa namun cabaran yang diterima daripada pesaing lain juga bukan sedikit.

Layari www.jururawatbergerak.com, hicnursing.blogspot.com atau hubungi HICNursing@yahoo.com untuk maklumat lanjut.

Mereka juga boleh dihubungi di talian 0341050221, 0342525221 atau 0193542429, 0193100221.

Wednesday, October 6, 2010

Utusan Malaysia - HICNursing Legasi Adik Beradik


Utusan Malaysia
6hb October 2010
Oleh Rosmah Dain

Perkhidmatan jururawat dan fisioterapi bergerak dari rumah ke rumah dewasa ini amat diperlukan dalam usaha mendapatkan penjagaan dan rawatan pesakit yang kondusif.

Soal kewangan kini sudah menjadi nombor dua, apa yang penting kebanyakan anak-anak mahukan ibu bapa mereka yang uzur mendapatkan rawatan dan penjagaan yang intensif sepanjang berada di rumah.

Jadi dengan adanya perkhidmatan jururawat dan fisioterapi yang dibekalkan oleh Home Intensif Care Nursing (HICNursing) , memudahkan individu yang mahukan tahap penjagaan 'super class' untuk orang tua mereka dengan biayaan yang berpatutan.

HICNursing ditubuhkan pada hujung tahun 2008. Uniknya pengendali syarikat berteraskan kesihatan ini diterajui oleh empat adik-beradik iaitu Yasrizal Yahya, 30, (bertindak selaku pengurus) Mohd. Asri Yahya (pengurus pemasaran dan kewangan), 27, Mohd. Azhar Yahya(perunding jururawat), 25, dan Mohd. Firdous Yahya, 24, (perunding fisioterapi).

Berasal dari Pahang, dua antara mereka yang mempunya kerjaya lain sebelum ini akhirnya berhenti untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap syarikat pengendali perkhidmatan kejururawatan ini.

Menurut Yasrizal, agensi itu berpusat di Ampang dan beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

''Walaupun syarikat ini masih baru, namun kami sudah menerima ramai permintaan pelanggan yang mahukan perkhidmatan HICNursing.

"Seorang jururawat kami akan bergilir-gilir menjaga sehingga enam ke tujuh pesakit setiap hari (24 jam). Perkhidmatan ini bukan sahaja terhad kepada warga emas yang uzur, kanak-kanak yang mempunyai kecacatan malah juga kepada mereka yang mengalami kemalangan dan memerlukan bantuan fisioterapi dan penjagaan secara klinikal dan jururawat profesional.

''Kini syarikat ini mempunyai 13 orang jururawat dan juru fisioterapi yang berkemahiran dan dipercayai,'' katanya.

Melihatkan kepada prospek bidang perniagaan ini yang sangat cerah pada masa depan, Yasrizal sentiasa memastikan syarikatnya menerajui pasaran perkhidmatan kesihatan ini untuk memberikan hanya yang terbaik kepada semua pesakit dan masyarakat yang memerlukan.

Katanya, perkhidmatan kejururawatan bergerak seperti ini bukanlah satu fenomena baru kepada masyarakat kerana telah terdapat beberapa syarikat kesihatan yang menjalankan perkhidmatan sedemikian, tetapi tidak banyak syarikat ini yang diterajui oleh bangsa Melayu yang kesemua jururawat dan kakitangannya berbangsa Melayu.

Bercerita lebih lanjut, Yasrizal memberitahu kisah permulaan penubuhan HICNursing ini bermula dengan perbincangan dia dan adik-adiknya.

''Adik saya, Mohd. Azhar dan Mohd. Firdous memasuki kolej kejururawatan swasta sebagai bidang pembelajaran mereka. Pada masa yang sama mereka turut menghadiri kursus fisioterapi bagi menambahkan pengetahuan dalam bidang ini.

''Kebetulan pada tahun 2008, datuk kami telah jatuh sakit kerana strok dan kedua-dua mereka telah merawat datuk sehingga pulih. Dari situ kami melihat prospek penjagaan fisioterapi ini sangat cerah dan amat diperlukan,'' katanya.

Dalam pada itu tambah Yasrizal, permintaan bagi mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan daripada kedua-dua adiknya sebagai jururawat peribadi daripada beberapa orang kenamaan sungguhpun pada ketika itu mereka belum habis kolej lagi.

Dalam pada itu Mohd. Asri berkata, pada masa depan HICNursing ingin melebarkan sayap mereka untuk memberikan perkhidmatan ke seluruh negara.

''Sekarang kita tumpu sepenuhnya di dalam Lembah Klang dan Selangor, tetapi pada masa akan datang, kita akan bina cawangan di beberapa negeri.

''Namun sekarang pun sudah ada pesakit kita yang datang dari negeri-negeri lain, tetapi mereka akan dirawat di rumah anak-anak mereka di sekitar Lembah Klang,'' katanya.

Rawatan katanya, dijalankan menerusi pakej-pakej perkhidmatan dan perubatan tertentu yang ditentukan sejurus bertemu dengan pesakit di rumah mereka.

Dalam pada itu tambahnya, pada masa depan, HICNursing bercadang untuk membina resort kesihatan bagi menempatkan warga emas atau sesiapa sahaja yang memerlukan untuk dirawat dalam keadaan lebih kondusif, belaian secara sihat di tempat yang amat merehatkan.