Wednesday, October 6, 2010

Utusan Malaysia - Pesakit perlu persekitaran positif


Utusan Malaysia
6hb October 2010
Oleh Rosmah Dain

HOME Intensive Care Nursing (HICNursing) merupakan sebuah agensi perkhidmatan jururawat profesional dan fisioterapi bergerak dari rumah ke rumah.

Perkhidmatan ini disediakan bertujuan untuk memberikan keselesaan kepada pesakit menerusi bantuan jururawat profesional dan sokongan ahli keluarga yang berada di sisi.

Perkhidmatan seperti ini boleh dianggap baru di negara ini kerana kebanyakan pesakit hanya menggunakan khidmat hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menurut Perunding Kejururawatan HICNursing, Mohd. Azhar Yahya, kebanyakan pesakit yang telah keluar dari hospital, masih memerlukan rawatan susulan atau penjagaan.

''Mereka selalunya tidak mengetahui apa yang perlu dilakukan jadi HICNursing menawarkan perkhidmatan sepertihouse call, respite care, geriatrik danpalative careserta sewaan peralatan yang merangkumi pelbagai cara penjagaan dan lawatan susulan sehingga pelan penjagaan komprehensif seperti pemakanan, fisioterapi, latihan penjagaan hingga pemulihan serta khidmat nasihat.

''Dengan adanya sokongan moral serta penjagaan khusus di rumah, ia mewujudkan persekitaran yang positif untuk pesakit. Merawat pesakit di rumah dapatmemberikan sokongan psikologi kerana dengan adanya keluarga mewujudkan suasana yang lebih ceria,'' tambahnya.

Jelasnya, tujuan HICNursing menjalankan konsep jururawat dan fisioterapi bergerak adalah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tempatan terhadap pentingnya mengetahui penjagaan dan rawatan susulan setelah pulang ke rumah.

''Kami turut mempunyai beberapa ahli panel yang arif dalam pelan penjagaan pesakit strok, keluarga boleh mempelajari kaedah rawatan berbentuk aktiviti fizikal yang akan ditunjuk ajar oleh kami.

''Ini terbukti setelah hampir 80 peratus pesakit strok kembali pulih dan menjalani kehidupan seperti biasa. Selain hospital, rumah boleh menjadi tempat rawatan yang boleh membangunkan psikologi pesakit,'' katanya.

Menurut Perunding Fisioterapi HICNursing,Mohd. Firdous, melalui pengalaman mereka, ada segelintir anak-anak pesakit yang uzur tidak tahu menguruskan rutin harian pesakit termasuk bagaimana mereka menguruskan pesakit untuk membuang air.

Bukan itu sahaja, penjagaan pemakanan pesakit juga terabai.

''Perlu diingat, pesakit yang uzur memerlukan makanan seperti sayur serta buah-buahan segar.

''Kebanyakan pesakit uzur mengalami kesan melecet di belakang badan ini kerana pesakit itu tidak banyak bergerak sebaliknya hanya dibiarkan terlantar di atas katil. Persepsi itu perlu diubah kerana pesakit perlu menyedut udara segar.

''Dengan adanya penjagaan eksklusif di rumah walaupun pesakit itu sentiasa diberi perhatian dengan penuh kasih sayang dan layanan yang secukupnya tetapi penjaga kurang arif bagaimana hendak mengendalikannya dengan betul,'' tambahnya.

Katanya, kebanyakan orang tua dan uzur banyak menghabiskan masa di rumah dengan berbaring di atas katil. Terlalu sedikit aktiviti yang dilakukan.

Pesakit sebenarnya boleh melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan-jalan, berenang atau berbual-bual bersama keluarga untuk menjadikan kehidupan pesakit lebih berkualiti.

''Layanan dan kasih sayang yang tulus ikhlas dapat memberikan pesakit harapan untuk sembuh, bersesuaian dengan konsep yang diserapkan oleh HICNursing terhadap pesakit iaitu pesakit adalah keluarga kami.

''Petugas yang terlatih ini akan menjalankan tugas dari rumah ke rumah di samping memberi tunjuk ajar. Selain itu HICNursing membantu pesakit membersihkan diri melakukan senaman kesihatan, memberi makan dan penjagaan selepas bersalin,'' katanya.

HICNursing menekankan kualiti dalam perkhidmatan yang diberi dan rawatan dibayar dengan harga yang lebih rendah berbanding pasaran luar untuk meringankan beban keluarga pesakit bagi menampung kos perbelanjaan. Tidak ketinggalan HICNursing mendapat khidmat nasihat dan kerjasama daripada pihak doktor.

No comments:

Post a Comment